Saturday, 19 February 2011

Cemburu? Iri hati? Read this!

SETIAP individu tentu pernah berasa
cemburu. Tidak kiralah dalam konteks
perhubungan cinta antara lelaki dan
wanita, keluarga atau paling tidak iri
hati ketika di bangku sekolah. Meniti
alam dewasa, mungkin pernah antara kita merasa cemburu dengan teman
sekerja atau tertanya-tanya mengapa
dirinya lebih berjaya. Sama ada rasa cemburu akhirnya
mendorong diri kita menjadi insan lebih
baik atau hanyut diselubungi perasaan
negatif hingga membawa kepada hasad
dengki, situasi sebegini dianggap
lumrah kehidupan. Rasa cemburu jika tidak dibendung lebih awal, lama
kelamaan perasaan negatif yang
bertunas di hati boleh meledak api
emosi. Andai tidak dikawal, ia mampu
mencetuskan perbalahan lebih besar.
Ibarat gunung merapi yang menanti waktu untuk meletus, konflik cemburu
boleh bertukar menjadi tragedi lebih
dasyat. Faktor iri hati itu jika diselidik, tiada
tembok sempadannya. Sama ada antara
lelaki bersama lelaki, perempuan
dengan perempuan atau lelaki dengan
wanita. Ada banyak sebab yang
memungkinkan perasaan cemburu timbul. Antara faktor cemburu termasuk
melihat kejayaan orang lain;
kebahagiaan yang mereka kecapi;
kelebihan dari segi paras rupa; kenaikan
pangkat; perhatian yang diberi melebihi
diri sendiri dan tarikan lain yang membuatkan seseorang itu lebih
menonjol. Jika dikaji, tiada sebab untuk seseorang
cemburu dengan kejayaan orang
melainkan dirinya sendiri harus
berusaha mengubah nasib. Jangan
jadikan perasaan cemburu dan iri hati
sebagai penghalang untuk terus mengejar kemajuan. Tidak salah untuk berasa cemburu ke
atas kejayaan individu lain asalkan
perasaan itu diselangi dengan semangat
baru untuk sama-sama beroleh
kejayaan. Apabila anda dirundung rasa cemburu,
perkara pertama yang perlu dilakukan
ialah ketepikan perasaan hasad dengki
yang boleh memakan diri. Sama ada
dalam hubungan cinta ataupun konflik
dengan rakan-rakan, pastikan anda sentiasa berfikiran positif menangani
setiap isu mendatang. Tarik nafas dalam-dalam kerana ia
mampu memberi motivasi dan
semangat baru untuk berdepan dengan
pelbagai kemungkinan. Andai sudah
redakan diri, apa kata minum air untuk
memastikan diri tenang. Jangan bangkitkan konflik, sebaliknya
hindari daripada berdepan dengan
individu yang anda tidak gemari. Jauhi
mereka seketika bagi membolehkan
anda mampu mengumpul kekuatan
serta semangat baru dalam hidup. Pilihan bersendiri seharusnya
dimanfaatkan untuk berehat dan
mencari sedikit ketenangan. Jika tidak
mahu diri tersisih atau sunyi,
sibukkanlah diri dengan bertemu
sahabat lama untuk meredakan tekanan. Dekatkan diri dengan Yang Maha Esa
kerana itulah sumber kekuatan ketika
berdepan situasi sukar. Bagaimana mahu hentikan rasa
cemburu
1. Ketahui punca Tiada sebab cemburu jika kalau kita
tidak tahu puncanya. Selidik mengapa
anda cemburu hingga mencetuskan rasa
tidak puas hati, tersinggung atau
kecewa dengan orang sekeliling. Tentu
ada sebab mengapa anda kecil hati.
2. Tarik nafas dalam-dalam Jangan cepat melenting, sebaliknya fikir
secara positif dengan menarik nafas
dalam-dalam biarpun ketika berdepan
dengan individu yang menyinggung hati
anda. Cuba jadi individu profesional
walaupun ketika berdepan dengan orang yang anda sudah jelak.
3. Menangis semahunya Tidak salah mengekspresi diri dengan
menangis. Pastikan anda tidak
menangis di depan ‘ lawan ’ , sebaiknya cari waktu terbaik untuk menyendiri
atau bersama dengan orang yang anda
percaya. Menangis sepenuh hati mampu
meredakan tekanan.
4. Berfikiran positif Buang jauh-jauh unsur negatif dalam
diri, sebaliknya kembalikan aura positif.
Cuba alih rasa cemburu dengan
memikirkan benda yang baik-baik.
Ibarat kata orang belajarlah memujuk
diri.
5. Berhenti untuk membandingkan diri anda dengan orang lain Alamat memang tidak akan habis
cemburu jika sibuk membandingkan
nasib anda dengan orang lain.
6. Jangan kecewa dengan diri sendiri Setiap orang mempunyai kelemahan diri
dan belajarlah mengakui tiada siapa
yang sempurna. Positif dalam diri resipi
untuk kurang berasa cemburu.
7. Percaya diri Ketepikan rasa sakit hati, lantas percaya
kepada bakat dan rezeki yang
mendatang. Tidak perlu menjadi orang
lain atau mempunyai perasaan hasad
dengki yang akhirnya memakan diri.
8. Bekerja keras Motivasi diri dengan berazam
mengubah personaliti sedia ada. Ibarat
menjadi lebih baik untuk hari esok
berbanding hari ini. Tumpuan
berikutnya untuk menjadi insan
berkualiti yang menjadi rebutan semua orang. Akhir sekali, sentiasa berdoa
kepada Allah SWT supaya dikurniakan
rezeki dan kesihatan yang baik.

No comments:

Post a Comment